INTERNET SEBAGAI MEDIA PDP
Teknologi pengajaran adalah satu konsep pembelajaran yang
mengaplikasikan kemajuan dan kemudahan teknologi semasa dalam aktiviti
pengajaran dan pembelejaran di dalam bilik darjah. Menurut Abdul Rahim Mohd
Saad(1996), abad ke 21 mengundang pelbagai cabaran dan perubahan berkaitan
dengan keperluan pendidikan dan latihan di sekolah, institusi pengajian tinggi,
industri dan sektor perdagangan. Kewujudan teknologi maklumat dan teknologi
multimedia telah meninggalkan impak yang kuat. Penggunaan internet adalah aktiviti
pengajaran dan pembelajaran mampu memberikan banyak manfaat kepada guru
khususnya dalam mempengaruhi cara seseorang guru menjalankan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan internet ini juga mampu membentuk satu
suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dalam mencapai setiap
matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah dibentuk. Antara
kelebihan penggunaan internet dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran kepada
guru adalah seperti mana yang berikut:-
Mengubah Peringkat Membuat Keputusan : Kebiasaannya,
penggunaan media dirancang semasa kurikulum dilaksanakan, bukan semasa
peringkat merancang dan menentukan kurikulum. Oleh itu terjadilah penggunaan
media secara sesuka hati tanpa berdasarkan perancangan yang sistematik. Dengan
penerimaan teknologi pengajaran pada peringkat perancangan kurikulum, perancang
kurikulum dapat bekerjasama dengan pereka pengajaran untuk menentukan
penggunaan teknologi pengajaran dalam kurikulum sekolah. Cara ini akan lebih
menjamin keberkesanan perlaksanaan pengajaran dan kurikulum yang telah
digariskan.
Mengubah Sistem atau Pendekatan Pengajaran : Teknologi
pengajaran boleh mempengaruhi sistem atau pendekatan proses pengajaran dan
pembelajaran. Ia boleh menukar sistem atau pendekatan pengajaran konvensional,
menerima sistem pembelajaran jarak jauh, sistem kelas terbuka atau sistem
sekolah bebas. Teknologi pengajaran boleh mengubah cara pengajaran dirancang
dan disusun. Sebagai contoh, kurikulum pengajaran literasi komputer. Dalam perancangan
pengajaran, ia melibatkan penggunaan komputer, pembinaan pengetahuan melalui
pembelajaran usaha sama, penyelesaian masalah dan penggunaan strategi
pembelajaran penguasaan. Penggunaan teknologi pengajaran terutamanya teknologi
maklumat, mungkin mengubah cara jadual waktu dirancang dan dilaksanakan di
sekolah, maktab dan di universiti. Proses pengajaran dan pembelajaran pula
berpusatkan pelajar dan berasaskan pengetahuan dan maklumat. Guru hanya
mengurus aktiviti pembelajaran dan menyediakan sebanyak mungkin pengalaman dan
pencarian maklumat menggunakan teknologi baru untukpembelajaran. Pengenalan
kepada jadual waktu anjal oleh KPM pada tahun 1993 memberikan fleksibiliti
dalam perancangan kurikulum dan strategi pengajaran. Ini membolehkan guru merancang
pelajaran dengan lebih berkesan dan memberi lebih masa bagi guru menyemak buku
latihan dan menangani masalah pembelajaran, sedangkan jumlah waktu mengajar
adalah sama (Yusuf Hashim, 1998).
Mengubah Pengalaman Pembelajaran : Tanggapan masa kini terhadap
pengalaman pembelajaran terjadi bukan secara tidak sengaja tetapi sengaja
diadakan. Oleh itu, pengalaman ini perlu diadakan melalui perancangan yang
rapi. Penggunaan atau aplikasi teknologi pengajaran secara teratur boleh
membantu setiap pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang khusus (sudah
tentu melalui proses tertentu) bagi menguasai sesuatu perkara.
Secara amnya, menyifatkan teknologi pengajaran sebagai satu
bidang yang berusaha ke arah meningkatkan kualiti atau keberkesanan pengajaran
dan pembelajaran. Semenjak permulaan tercetusnya bidang ini, usaha ke arah ini
jelas kelihatan. Misalnya, pada tahun 1930an, penghasilan bahan-bahan visual
seperti filem, gambar, slaid dan realia giat diadakan bagi membantu guru dalam
pengajaran di bilik darjah.
Implementasi PPBK Di Malaysia
Pengaplikasian penggunaan komputer dalam sistem pendidikan
di Malaysia telah lama berlaku. Lebih dari itu, penggunaan komputer ini tidak
hanya terhad di peringkat pendidikan tinggi sahaja, malah turut mencakupi
pendidikan pada peringkat prasekolah. Pengunaan Cakera Padat Interaktif untuk
tujuan pengajaran dan pembelajaran, penggunaan talian internet untuk tujuan
capaian data dan pelbagai alat bantu mengajar yang lain telah menjadikan sistem
pendidikan negara semakin berkembang maju. Perubahan positif ini telah
mendorong ramai penyelidik untuk melihat keberkesanan penggunaan komputer dan
teknologi maklumat ini dalam sistem pengajaran dan pembelajaran seperti mana
yang akan dibincangkan kemudian.
Ashinida, Afendi dan Mohd. Shabri (2004) adalah antara
penyelidik yang ingin melihat keberkesanan penggunaan Pembelajaran Bahasa
Berbantukan Komputer (PBBK) dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa asing.
Kajian yang dijalankan mendapati bahawa kesemua 40 respondan yang dikaji
menyatakan bahawa program PPBK boleh membantu meningkatkan kemahiran pelajar
dalam Bahasa, menjimatkan masa dan tenaga semasa proses pengajaran dan
pembelajaran berjalan serta memudahkan pelaksanaan proses pengajaran guru.
Sementara itu, 90 peratus daripada respondan yang dikaji juga menyatakan bahawa
program PPBK dapat meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid.
Statistik ini menunjukkan bahawa para guru mempunyai persepsi yang sangat
positif dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab dengan berbantukan
komputer.
Dalam kajian yang dilakukan oleh Baharudin (2005) mendapati
bahawa penggunaan teknologi dalam bilik darjah harus diberi keutamaan bagi
menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penggunaan alat
beteknologi seperti komputer dalam proses pembelajaran dan pengajaran adalah
alternatif yang produktif dalam proses perpindahan maklumat dan kemahiran.
Selain itu, ekses guru dan pelajar dapat ditingkatkan melalui penggunaan
komputer. Hal ini kerana penggunaan komputer dapat meningkatkan penyerapan
maklumat kerana ia melibatkan media grafik bergambar, video dan sistem
pemprosesan maklumat yang pantas dan teratur. Kelebihan ini membawa kepada
pengatasian had masa dan ruang.
Walau bagaiamanapun, menurut kajian yang dilakukan oleh
lapan orang pengkaji iaitu Rosen dan Weil (1995), Winnans dan Brown (1992),
Dupagne dan Krendl (1992) serta Hadley dan Sheingold (1993), walau begitu
sekali canggihnya komputer, namun ia perlu dilengkapkan dengan pelbagai
perisian yang berguna seperti “hardware” dan “software” yang dapat membantu
guru meningkatkan kecekapan mereka dalam memaksimumkan proses memanipulasikan
keupayaan komputer. Dengan ini, keyakinan guru meningkat dan mudah bagi mereka
untuk mencurahkan pengalaman mereka dan seterusnya membantu para pelajar untuk
bersedia menggunakan komputer.
Pendapat di atas disokong oleh seorang pengkaji yang bernama
Pedretti (1999). Kajian yang dilakukan olehnya menunjukkan bahawa guru yang
bijak mengaplikasikan komputer mampu membuat pelbagai pembaharuan dalam
menjalankan tugasnya sebagai perantara keilmuan kepada sasarannya. Manakala Cox
(1999) pula menyatakan bahawa guru-guru yang sering menggunakan komputer dalam
melaksanakan tanggungjawabnya mempunyai keyakinan yang tinggi dalam mengunakan
ICT dan lain-lain alat seperti projektor, LCT CD dan sebagainya. Hal ini adalah
kerana mereka percaya bahawa penggunaan alat berteknologi seperti itu dapat
meningkatkan proses pembelajaran dan pengajaran menjadi lebih menarik, mudah
dan lebih seronok.
Seperti mana yang telah dinyatakan, teknologi pengajaran
adalah satu konsep pengajaran dan pembelajaran yang menjadikan kemudahan dan
peralatan ICT sebagai salah satu medium utama dalam pelaksanaan aktiviti di
dalam bilik darjah. Penggunaan komputer, laptop, LCD projektor, cakera padat
dan pelbagai elemen ICT lain dijadikan sebagai bahan bantu mengajar yang dapat
menarik dan meningkatkan kecenderungan pelajar untuk menjalankan sesuatu
aktiviti pembelajaran. Melalui integrasi ICT beberapa perubahan dan pendekatan
proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Antaranya ialah perubahan fokus
daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan pelajar.
Dalam hal ini pelajar menjadi fokus kepada aktiviti pembelajaran yang
berorientasikan kepada proses penerokaan dan penemuan berdasarkan kepada teori
konstruktivisme. Bill Gates (1999), dalam bukunya Business @ The Speed of
Thought yang menyatakan komputer peribadi dapat mengubah kaedah pembelajaran
tradisional yang memerlukan guru memberi arahan kepada pendekatan ‘hands on’
dan menggunakan sepenuhnya sifat inkuiri yang ada dalam diri pelajar. Komputer
peribadi membolehkan mereka meneroka maklumat mengikut kapasiti masing-masing.
Satu kajian (Bahrudin, Mohamad Bilal & Muhammad Kasim
2001), menunjukkan bahawa ICT dapat membantu mengatasi kelemahan pendidikan
sains yang diajar secara tradisional serta penglibatan guru dalam penggunaan
komputer secara lebih produktif. Guru harus mengintegrasi kemahiran teknologi
dan peluang pembelajaran secara konstruktivis untuk melihat keberkesanan
penggunaan teknologi. Peranan ICT dalam P&P akan membawa kepada
kaedah-kaedah yang baru dan inovatif dalam pembelajaran dan penilaian. Namun
begitu kehadiran ICT sahaja tidak dapat membantu proses transformasi ini.
Perkara yang penting dalam integrasi ICT ialah setiap strategi itu harus
menjurus kepada keperluan P&P dan sebagai satu cara untuk guru dan pelajar
menyelesaikan masalah semasa proses pembelajaran serta memperolehi hasil yang bertepatan
dengan isi kandungan.
Dalam keadaan ini terdapat peranan ICT dari segi
meningkatkan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran melalui
penggunaan internet, bahan-bahan multimedia disamping bahan pengajaran yang
sedia ada. Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan dengan
menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu
mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Penggunaan internet
dapat menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan juga murid untuk
meneroka, mencari bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Melalui
portal-portal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan atau luar,
guru dan murid dapat memanafaatkan sebaik mungkin. Portal pendidikan dapat memberi
kefahaman yang lebih kepada murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran contohnya
dalam eksperimen sains, guru hanya menunjukkan satu-satu eksperimen sekali
sahaja tetapi melalui portal pendidikan mereka boleh berulang kali mencubanya.
Tambahan pula setiap bahan di dalam portal sentiasa dikemaskini dan murid
mendapat banyak bahan baru berbanding dengan buku teks yang diperbaharui lima
tahun sekali.(Zalina Yahaya, 2001).
Melalui penggunaan komunikasi elektronik (e mail), net
meeting, chat room dan sebagainya guru dan murid dapat bertukar-tukar idea
sesama sendiri atau dengan guru dan pelajar dari sekolah yang lain. Pertukaran
maklumat dengan sekolah dari luar negara akan lebih digalakkan memandangkan
faedah dari segi meningkatkan komunikasi guru dan murid disamping mendapat ilmu
baru mengenai kebudayaan dan negara masing-masing. Melalui penggunaan ICT
pelajar dapat menguasai pelbagai kemahiran manipulatif seperti kemahiran
pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan dengan menggunakan
alat-alat teknologi. Kemahiran dan penguasaan dalam teknologi akan melahirkan
pelajar yang lebih bersedia dan yakin untuk memasuki alam pekerjaan.
Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi merupakan serampang
dua mata dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. Guru boleh mengambil
peluang daripada keupayaan ini untuk menjalankan pembelajaran kolaboratif di
dalam kelas. Kaedah ini digunakan untuk membolehkan murid dan guru daripada
lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dalam pelbagai
bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio video dan animasi. ICT
dalam P&P merupakan perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta
usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah, guru, pelajar dan
semua pihak. Teknologi multimedia dan juga internet menyediakan satu kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang berlainan daripada kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang tradisi. Menerusi penggunaan teknologi moden ini, para
pelajar dapat menguasai sesuatu pembelajaran mengikut kaedah pembelajaran yang
mereka minati dan gemari. Di samping itu, teknologi maklumat dan Internet juga
menyediakan kebolehan interaktiviti. Berikut merupakan antara kaedah pengajaran
dan pembelajaran berbantukan komputer.
Dalam melihat perkembangan positif yang berlaku dalam sistem
pendidikan kebangsaan, kita juga perlu melihat sama ada tenaga pendidik kini
telah bersedia mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan komputer dan teknologi
maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya kajian yang
dijalankan oleh Rosseni (2002) ke atas 40 orang guru. Kajian beliau mendapati
bahawa masih terdapat lagi di kalangan tenaga pendidik yang masih tidak tahu
menggunakan cakera padat interaktif (salah satu bahan banatu mengajar dalam
pembelajaran berasaskan komputer) dalam pelaksanaan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Daripada kajian beliau, sebanyak 42 peratus guru tersebut yang
mempunyai tahap pengetahuan terhadap penggunaan cakera padat yang rendah.
Sementara itu, sebanyak 48 peratus daripadanya hanya tahu meneroka dan menilai
cakera padat untuk penggunaan pendidikan. Daripada hasil kajian yang dijalankan
oleh Rosseni ini menunjukkan bahawa tahap dan pengaplikasian cakera padat
pendidikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran masih berada pada tahap
yang rendah. Kebanyakan daripada pendidik ini hanya menggunakan buku teks
sebagai asas utama dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Sathiamoorthy (2000)
terhadap kemampuan mengurus inegrasi komputer di kalangan guru-guru Sekolah
Bestari, didapati bahawa sebanyak 9.8% daripada 205 guru yang dikaji tidak
mempunyai kemampuan dalam merancang integrasi komputer dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini menunjukkan bahawa kemampuan dan
kesediaan guru dalam menggunakan teknologi semasa seperti komputer, cakera
padat dan seumpamanya berada pada tahap yang tinggi.
Dalam pada itu, kajian yang dilakukan oleh Wan Noraini
(2002) juga melihat kemahiran guru terhadap penggunaan komputer, sebanyak 42%
daripada 40 orang guru yang dikaji tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi
terhadap penguasaan dan penggunaan teknologi CD/DVD dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran. Walaupun kadar ini tinggi, namun ramai respondan yang tahu
mengaplikasikan teknologi CD/DVD dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran.
No comments:
Post a Comment